
Kegiatan hobi model kawalan jauh di Alor Star bermula hampir 40 tahun dahulu. Hobi ini mula diperkenalkan oleh pengetua Goverment English School ( kini dikenali sebagai Kolej Sultan Abdul Hamid) berbangsa Inggeris dari England. Beliau menubuhkan kelab aeromodelling di sekolah tersebut. Bermula dengan kapal terbang jenis free flight, kemudian diikuti oleh control line yang dikawal menggunakan tali, dan kapal terbang yang menggunakan radio kawalan jauh.
Hobi ini kemudiannya diteruskan oleh beberapa orang bekas pelajar Kolej Sultan Abdul Hamid, termasuklah Encik Nooru Alam (sifu Alor Star) bersama-sama Dr Saaya (sifu Sungai Petani) yang masih aktif bermain model kawalan jauh. Minat mereka terhadap hobi ini tidak pudar meskipun sudah lebih 30 tahun berkecimpung.
Selama beberapa tahun kegiatan ini terhenti di Alor Star kerana peminat-peminat telah berpindah dan menyambung pelajaran di negeri lain. Pada tahun 1978 Encik Nooru Alam telah pulang ke Alor Star. Dengan berbekalkan beberapa buah pesawat control line dah sebuah pesawat kawalan jauh, beliau menghidupkan semula kegiatan ini. Lapangan terbang atau tempat penerbangan bermula di Hutan Kampung iaitu kampung halaman Encik Nooru, kemudian berpindah ke tapak pembinaan tol Alor Star utara. Seterusnya tapak perumahan Taman Rakyat Mergong menjadi tempat dimana ilmu-ilmu aeromodelling mula disebarkan dan dikongsi bersama beberapa ahli lama yang berjumpa kembali dan ahli-ahli baru. Hobi ini diteruskan di tapak sekolah di Alor Mengkudu. Kemudian pada tahun 1998 mereka berpindah ke Suka Menanti. Ketika bermain di Suka Menanti, kegiatan ini mula berkembang dengan pesat dan berjaya 'meracun' lebih ramai orang awam untuk bersama-sama memperjuangkan hobi ini. Pada ketika inilah ahli-ahli berpakat untuk menubuhkan sebuah kelab yang diberi nama Kelab Peminat Model Kawalan Jauh Alor Star. Syabas kepada ahli jawatan kuasa kelab kerana telah bertungkus-lumus dan gigih berusaha sehingga tertubuhnya kelab ini.
Pada tahun 2005, kerajaan memutuskan untuk memajukan kawasan Suka Menanti. Berita ini amat mendukacitakan bagi peminat hobi ini. Namun atas usaha gigih ahli-ahli yang mencari tempat penerbangan baru, dua tempat telah dijumpai iaitu sebuah kawasan lapang di Pendang dan sebuah stadium mini yang mempunyai padang rumput yang cantik. Apabila kawasan lapang di Pendang dijadikan tapak pasar malam, para ahli telah memutuskan untuk menjadikan Stadium Mini Peremba sebagai tempat penerbangan tetap bagi kawasan Alor Setar. Seterusnya Peremba menjadi tempat hobi ini berkembang dengan maju tanpa ancaman daripada pihak luar (kecuali ancaman heli dan kapal terbang pemusnah) . Semakin ramai ahli melibatkan diri dengan hobi ini. Hobi ini masih diteruskan hingga ke hari karangan ini ditulis dan diharap dapat diteruskan oleh generasi akan datang.
Setakat ini sahaja pengenalan bagi Kelab Peminat Model Kawalan Jauh Alor Star. Di bawah disertakan gambar Stadium Mini Peremba dari bawah dan dari langit. Sekian terima kasih.
P/S : Harap jadi karangan terbaik SPM 2008. ( ", )...
Cheers.
Pandangan dari udara...


